artikel dari:
Prof. Madya Hj. Iberahim
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kesenian
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Prof. Madya Hj. Iberahim
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kesenian
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Pertukaran
nama daripada Seni Lukis dan Pertukangan Tangan kepada Pendidikan Seni
pada awal tahun 1980an apabila KBSR diperkenalkan dan seterusnya akan
bertukar semula namanya kepada Pendidikan Seni Visual pada 2002 tentulah
berlatar belakangkan rasional yang amat signifikan. Ianya memberi kesan
yang jelas kepada matlamat dan objektif keseluruhan mata pelajaran ini.
Kandungan mata pelajaran pun akan berubah atau bertambah. Pendekatan
pengajaran dan pembelajaran juga akan berubah mengikut keperluan
seterusnya akan mempengaruhi strategi dan kaedah pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah juga. Yang tidak kurang pentingnya ialah
falsafah, kepercayaan dan amalan guru-guru yang mengajar mata pelajaran
ini perlu selari dengan falsafah dan matlamat mata pelajaran ini.
Pada
hari ini dan beberapa tahun kebelakangan berbagai-bagai pihak yang
bergiat dalam pendidikan seni visual sama ada secara individu maupun
oleh institusi, kerajaan dan badan bukan kerajaan berusaha dengan
berbagai-bagai pendekatan dan kaedah untuk meletakkan mata pelajaran
pendidikan seni (visual) ini ke atas landasan yang benar agar
martabatnya selari dengan mata pelajaran sekolah yang lain. Dalam usaha
ke arah itu beberapa isu yang bersangkutan dengan keberkesanan pedagogi
mata pelajaran ini perlu dijelaskan.
Pendidikan
Seni Visual-Seni Halus-Seni Kraf : Kecelaruan Konsep “Art Education”
kini kita panggil Pendidikan Seni (Visual) sebagai satu mata pelajaran.
Kita perlu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan mata pelajaran
ini. Kerana sehingga kini dari pengamatan dan kajian saya masih terdapat
berbagai-bagai tanggapan dan tafsiran tentang pendidikan seni (visual)
ini. Kerana apabila disebut pelajaran pendidikan seni ada yang
beranggapan sebagai suatu aktiviti seni yang merangkumi kegiatan melukis
dan membuat gambar atau lebih kepada bidang seni halus. Adakah seni
halus itu serupa dengan pendidikan seni visual? Ada setengah pihak pula
beranggapan Pendidikan Seni menjurus kepada kerja-kerja menghasilkan
produk kraf. Ada yang beranggapan pendidikan seni visual kini lebih
berbentuk akademik dengan mengajukan bidang sejarah dan apresiasi seni .
Kesamaran
ini perlulah dijelaskan. Bidang-bidang ilmu itu mempunyai falsafah dan
struktur ilmu yang khusus masing-masing menjurus kepada matlamat yang
berlainan. Sekiranya pemikiran dan kepercayaan yang masih bercelaru ini
tidak dijelaskan bagaimana seorang guru itu dapat mendukung falsafah dan
matlamat matapelajaran yang diajar. Kesannya ialah akan berlaku
penyempangan dan mengawal proses pendidikan yang mengikut selera yang
tidak tentu arah dan matlamatnya. Akhirnya mata pelajaran ini seperti
ayam kehilangan ibu dan seperti layang-layang putus tali.
Usaha
telah dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan melalui Pusat
Perkembangan Kurikulum untuk menjelaskan konsep pendidikan seni ini.
Jikalau diteliti kesemua peringkat sukatan pelajaran pendidikan seni
yang disediakan sudah jelas pengertian dan matlamatnya. Tetapi
kecelaruan itu masih berlaku dalam kepercayaan dan amalan di bilik
darjah atau ketika proses pengoprasian dilakukan . Nilai-nilai
pendidikan tidak berjaya diamalkan dalam proses P&P Pendidikan Seni
di bilik darjah tumpuan lebih kepada matlamat menghasilkan produk
semata-mata. Untuk menjelaskan lagi konsep Pendidikan Seni itu, menurut
Eisner (1972) terdapat tiga komponen dalam P&P yang saling berkait
iaitu, berpusatkan pelajar, subjek dan masyarakat. Ini selari dengan
pendapat para akademik seperti Ralph Tyler yang membahaskan bahawa semua
teori-teori dan program pendidikan mesti berfokus kepada tiga komponen
tersebut.
Pendidik mata pelajaran ini harus jelas akan 3 persoalan di bawah ini:
Pendidik mata pelajaran ini harus jelas akan 3 persoalan di bawah ini:
• Siapa yang kita ajar
• Mengapa kita mengajar
• Apa yang kita ajar (Laura Chapman 1978)
Siapa
yang kita ajar: Merujuk kepada kanak-kanak di sekolah bermula di
peringkat tadika hinggalah remaja di sekolah menengah malah hingga orang
dewasa yang mengikuti pendidikan sepanjang hayat (life long education).
Mengapa kita mengajar: Jawapan persoalan ini merujuk kepada apalah
matlamat dan objektif khusus yang jelas ialah untuk membantu memperbaiki
masyarakat supaya kehidupannya lebih selesa. Membantu pelajar kita agar
kehidupan masa hadapannya lebih sempurna. Apa yang kita ajar: Yang kita
ajar adalah proses mengurus dan mempermudahkan struktur ilmu Pendidikan
Seni agar domain kognitif pelajar berkembang, menerapkan nilai-nilai
dalam pembentukan sahsiah pelajar agar domain efektifnya terbentuk dan
meningkatkan kemahiran psikomotor mereka.
Masalah
Mentafsir Kandungan Pendidikan Seni Visual ke dalam bentuk Operasi di
bilik darjah: Beberapa unsur terlibat dalam proses ini, pertamanya
sejauh mana penguasaan ilmu dikalangan kita yang berkaitan dengan
kandungan mata pelajaran ini. Keduanya setakat mana keupayaan kita
berupaya mengurus unsur-unsur dalam kurikulum pendidikan seni. Ketiga
setakat mana kita jelas tentang keperluan murid-murid atau pelajarnya
ketika belajar pendidikan seni. Keperluan dari segi psikologi, sosial,
fizikal, emosi dan sebagainya. Keempatnya setakat mana kita mampu
menguruskan masa berbanding dengan jumlah kandungan yang hendak diajar
dan dengan kemudahan yang ada. Kelimanya apakah kepercayaan kita kepada
konsep perancangan, adakah kita mengamalkan kepercayaan “selesaikan
semua isi kandungan yang dirancang, “buat sahaja perancangan pelajaran
tahun lalu” atau sikap ambil mudah dalam merancang rancangan pelajaran
pendidikan seni. Keenam kretiviti guru mengatasi masalah “kekurangan”.
Yang jelas ialah perlunya memiliki pengetahuan yang mencukupi dan sikap yang positif terhadap tugas sebagai guru pendidikan seni. Latihan yang didapati di maktab atau universiti belum menjamin keberkesanan guru dalam menyediakan pelajaran pendidikan seni ini kerana guru perlu mengemasakinikan dirinya dengan pengetahuan-pengetahuan dan kemahiran baru yang boleh mempengaruhi tingkah laku guru untuk bertindak secara lebih positif dalam mentafsir kandungan pelajaran ini sesuai dengan keperluan dan perubahan semasa. Konsep DBAE umpamanya tidak pernah dipelajari ketika berkursus dalam tahun 70an atau 80an. Tetapi konsep atau struktur kurikulum berdasarkan empat disiplin ilmu pendidikan seni ini merupakan amalan terkini di peringkat antarabangsa. Sukatan pelajaran pendidikan seni (visual) terpengaruh dengan perubahan ini. Persoalannya adakah guru-guru di sekolah rendah atau menengah sedar tentang keadaan ini. Sesuatu perubahan baru tentangnya perlu disampaikan kepada guru-guru di sekolah. Oleh itu perlulah diusahakan suatu makanisma bagaimana maklumat seperti ini sampai kepada para guru. Kepada yang menguasai ICT mereka mampu mendapatkan maklumat terkini dengan melayari internet. Suatu cara lain ialah melalui jurnal yang diterbitkan oleh pihak-pihak tertentu. Yang pentingnya ada pihak yang bertanggungjawab untuk menulis menerbit dan mengedarkannya. Suatu cara lagi adalah melalui kursus-kursus pendek dalam pendidikan seni perlu selalu diadakan oleh pihak tertentu sama ada dianjur oleh pihak kementerian atau institusi pengajian tinggi yang lain.
Yang jelas ialah perlunya memiliki pengetahuan yang mencukupi dan sikap yang positif terhadap tugas sebagai guru pendidikan seni. Latihan yang didapati di maktab atau universiti belum menjamin keberkesanan guru dalam menyediakan pelajaran pendidikan seni ini kerana guru perlu mengemasakinikan dirinya dengan pengetahuan-pengetahuan dan kemahiran baru yang boleh mempengaruhi tingkah laku guru untuk bertindak secara lebih positif dalam mentafsir kandungan pelajaran ini sesuai dengan keperluan dan perubahan semasa. Konsep DBAE umpamanya tidak pernah dipelajari ketika berkursus dalam tahun 70an atau 80an. Tetapi konsep atau struktur kurikulum berdasarkan empat disiplin ilmu pendidikan seni ini merupakan amalan terkini di peringkat antarabangsa. Sukatan pelajaran pendidikan seni (visual) terpengaruh dengan perubahan ini. Persoalannya adakah guru-guru di sekolah rendah atau menengah sedar tentang keadaan ini. Sesuatu perubahan baru tentangnya perlu disampaikan kepada guru-guru di sekolah. Oleh itu perlulah diusahakan suatu makanisma bagaimana maklumat seperti ini sampai kepada para guru. Kepada yang menguasai ICT mereka mampu mendapatkan maklumat terkini dengan melayari internet. Suatu cara lain ialah melalui jurnal yang diterbitkan oleh pihak-pihak tertentu. Yang pentingnya ada pihak yang bertanggungjawab untuk menulis menerbit dan mengedarkannya. Suatu cara lagi adalah melalui kursus-kursus pendek dalam pendidikan seni perlu selalu diadakan oleh pihak tertentu sama ada dianjur oleh pihak kementerian atau institusi pengajian tinggi yang lain.
Hanya
dengan ilmu dan kemahiran yang ada berserta dengan jelas falsafah,
matlamat dan objektif barulah seseorang guru pendidikan seni itu dapat
merancang pelajaran dengan berkesan. Kandungan sukatan pelajaran boleh
ditafsir dengan tepat seperti yang dikehandaki. Setiap tajuk pelajaran
dapat dikembangkan kepada pelajar secara bersepadu dengan
menitikberatkan kepada memperkayakan pengalaman pelajar menerusi proses
pembelajaran bersepadu. Sebagai contoh suatu proses pelajaran yeng
berkaitan dengan komposisi dalam membuat gambar. Proses pembelajaran
tidak mungkin boleh diselesaikan dalam masa satu sesi pelajaran sahaja.
Seharusnya pelajar didedahkan dahulu dengan konsep gubahan dalam sebuah
catan dengan merujuk beberapa contoh seniman tempatan atau antarabangsa.
Sesi ini pelajar bersama-sama meneroka dan mencari maklumat yang
dirangsang oleh guru, secara tidak langsung sesi kritikan berlaku,
pelajar boleh membuat perbandingan, seterusnya membuat rumusan. Sesi
berikut pelajar boleh menggunakan kriteria, gubahan dari mana-mana
seniman yang dipilih kemudian membuat gambar, mungkin menggunakan kaedah
peniruan itu tidak salah kerana ia merupakan suatu proses belajar.
Setelah mereka faham dan mengenalpasti konsep gubahan dalam catan mereka
perlu membuat sebuah cipataan berdasarkan kefahaman mereka sendiri
dengan mengambil kira peraturan- peraturan dalam membuat sebuah gubahan
yang telah mereka temui. Sesi berikutnya disusuli dengan sesi kritikan
tentang kerja-kerja mereka pula.
Melalui
proses di atas pelajar diberi ilmu bagaimana untuk membuat sebuah
gubahan yang baik (merujuk kepada data-data dari guru dan seniman
terpilih) dengan ilmu itu pelajar menggunakan sebagai latihan, konsep
dalam gubahan bertambah, kamahiran juga bertambah melalui latihan,
proses pengamatan semakin matang maka pelajar semakin yakin kepada
keupayaan dirinya untuk terus berkreatif. Dalam proses ini yang penting
adalah :
• peningkatan ilmu dalam membuat gubahan
• peningkatan ilmu dalam sejarah seni, mengenali tokoh seni
• peningkatan ilmu dalam kritikan dan laras bahasa seni
Latihan dan Kursus Pendidikan Seni di peringkat Maktab Perguruan dan Institusi Pengajian Tinggi: Apabila seseorang graduan atau guru awalan yang berkelulusan seni, pendidikan seni atau yang berkaitan dengan seni visual melangkah kakinya ke sekolah mereka akan membawa bersama pengalaman semasa latihannya ke sekolah. Setiap institusi membekalkan pengalaman pelajarnya berdasarkan matlamat dan objektif latihan masing-masing. Latar belakang pengalaman graduan itu bergantung kepada bidang kepakaran (pengkhususannya) ditambah dengan kursus diploma pendidikan selama setahun atau seumpamanya. Sedangkan ruanglingkup isi kandungan dalam sukatan pelajaran pendidikan seni sekolah menengah dan sukatan pelajaran baru pendidikan seni STPM begitu luas sekali. Untuk menjadi sebagai seorang guru pendidikan seni yang berkesan latihan yang didapati di institusi pengajian tinggi itu masih tidak mencukupi, kecuali pengajaran pendidikan seni disekolah menengah dilakukan berdasarkan pengkhususan bidang masing-masing. Jikalau sebaliknya apabila guru golongan ini diminta mengajar keseluruhan tajuk-tajuk pelajaran ini bagi satu-satu tingkatan sedangkan beliau mahir dalam suatu bidang pengkhususan sahaja maka beberapa tajuk lain akan tertinggal, kerana kurang mahir dan tidak berkeyakinan untuk mengajar. Sekira ini yang berlaku maka konsep pendidikan seni akan menjadi lebih terkeliru di peringkat ini.
Seperkara lagi corak latihan yang diterima oleh bakal-bakal guru di maktab perguruan. Rata-rata bakal guru ini akan mengajar di sekolah rendah. Pendidikan seni di peringkat sekolah rendah merupakan tahap pembentukan konsep yang amat penting. Hubungan antara pelajaran pendidikan seni dan kanak-kanak sekolah rendah khususnya di tahap satu amatlah signifikan. Pelajaran pendidikan seni di peringkat ini lebih merupakan suatu proses untuk membantu perkembangan dan pertumbuhan menyeluruh kanak-kanak. Landasan pelajaran ini adalah berlandaskan teori perkembangan. Dan pendidikan seni kepada kanak-kanak adalah lebih kepada keperluan eksprasif, di samping perlu untuk meningkat domain kognitif, afaktif dan psikomotor mereka. Ianya banyak menyentuh tentang aspek psikologi perkembangan. Oleh itu guru-guru pendidikan seni perlulah benar-benar terlatih dalam bidang ini. Persoalannya sejauh manakah latihan yang mereka lalui. Adakah hal tersebut merupakan fokus latihan bagi kursus pendidikan seni untuk bakal guru sekolah rendah ? “Siapa saja boleh mengajar Pendidikan Seni”, Pendidikan Seni “pelajaran yang tidak ada potensi”
Seperkara
lagi yang menjadi isu dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni
adalah tanggapan masyarakat sekolah yang sering beranggapan bahawa :
sesiapa sahaja boleh mengajar pendidikan seni, pendidikan seni merupakan
waktu untuk guru-guru “berehat” setelah penat mengajar mata pelajaran
lain yang “lebih berat”. Selagi tanggapan ini tidak dibetulkan selagi
itulah mata pelajaran ini beransur-ansur lenyap dari pandangan positif
masyarakat sekolah. Kerana tanggapan inilah menjadikan pelajaran ini
semakin sehari semakin dipinggirkan oleh masyarakat. Malahan ada
kalangan guru yang pernah terlatih dalam pendidikan seni merasa malu
mengajar pelajaran ini, mereka lebih rela mengajar pendidikan jasmani,
dan pelajaran lain yang lebih “glamour”.
Selagi
pelajaran ini diajar oleh mereka yang tidak terlatih dan tidak inovatif
serta kreatif dalam menyediakan pelajaran maka selagi itulah konsep dan
roh pelajaran pendidikan seni itu tidak akan hidup di dalam semangat
pelajar. Selama itulah pelajar juga akan memandang sepi mata pelajaran
ini. Kesannya akan menimbulkan masalah kepada guru-guru pendidikan seni
yang bersemangat untuk mengajar kerana pelajar-pelajarnya menolak untuk
belajar pendidikan seni, Ini berlaku kerana berdasarkan pengalaman
mereka pelajaran pendidikan seni adalah pelajaran untuk berseronok
kosong, hambar, kosong, “masa rehat” , dan tiada nilai masa depan serta
tiada yang baru, belajar dari sekolah rendah hingga ketingkatan lima
benda yang sama saja . (Respon pelajar terhadap soal selidik persepsi
pelajar terhadap pandidikan seni, 1999 di kawasan Batang Padang)
Untuk
merubah persepsi pelajar ini memerlukan pengorbanan yang besar. Guru
perlu gigih dan sabar, perlu memiliki motivasi yang tinggi. Guru perlu
menguasai keperluan sebenar pelajar mempelajari pelajaran ini. Tahap
awal guru perlulah menanamkan keyakinan kepada pelajarnya bahawa
pelajaran ini “berbaloi untuk belajar” Pelajaran perlulah memiliki unsur
istimewa yang mendorong pelajar untuk terlibat sama walaupun terpaksa
mengeluarkan wang, tenaga dan masa. Mereka sanggup melaluinya sekiranya
pendidikan seni itu menarik, berpotensi, berbaloi untuk belajar, ada
nilai keilmuannya. Untuk ini guru terpaksalah menggunakan berbagai
kaedah untuk memotivasikan pelajarnya melalui berbagai strategi
pengajaran dan pembelajaran. Pelajar juga perlu didedahkan kepada
berbagai bidang dan jenis kerajaya yang boleh membuka mata mereka bahawa
mempelajari pelajaran pendidikan seni ada potensi dalam kerjaya jikalau
diberi tumpuan bersungguh-sungguh.
Memertabatkan
pelajaran Pendidikan Seni Selari dengan matapelajaran yang lain: Isu
untuk memertabatkan matapelajaran pendidikan seni seiring dengan mata
pelajaran yang lain bukanlah suatu isu yang baru. Saya percaya guru-guru
yang mencintai bidang ini sentiasa memperjuangkannya. Pada dasaranya
matapelajaran pendidikan seni adalah tergolong dalam kumpulan
matapelajaran asas dari sekolah randah hingga tingkatan tiga. Sama
tarafnya dengan mata pelajaran sejarah, geografi, kemahiran hidup,
pendidikan jasmani dan kesihatan dan sebagainya. Agihan jam interaksinya
dalam seminggu pun sama iaitu tiga waktu seminggu.
Apabila seseorang pelajar sekolah menengah tamat peperikasaan SPM mereka yang mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia boleh menunjukkan keupayaannya dalam berbahasa samaada dalam bentuk tulisan ataupun lisan. Begitu juga mereka yang lulus dalam matematik mampu menyelsaikan masalah matematik berdasarkan ilmu pengetahuan yang mereka kuasai. Pelajar dari bidang vokesional dan teknikal pula mampu memperlihatkan kemahiran-kemahiran mereka, sesetengahnya menguasai kemahiran asas sebagai persediaan untuk peringkat pengajian lebih tinggi atau menceburi di bidang pekerjaan.
Persoalan
dan kerisauan saya adalah mereka yang mendapat kepujian dalam
pendidikan seni di peringkat SPM, apakah istimewanya mereka. Adakah
mereka memiliki tahap ilmu seni setara dengan peringkat SPM seperti mata
pelajaran yang lain ? Adakah mereka memiliki daya kreativiti yang
tinggi, setara dengan SPM. Adakah kemahiran mereka dalam penciptaan dan
penghasilan karya seni setara dengan kemahiran-kemahiran mata pelajaran
lain di peringkat SPM. Adakah kita sudah merasa puas tentang tahap
pendidikan seni sekarang ? Untuk menjawab persoalan-persoalan di atas
kita boleh jadikan objektif-objektif pelajaran pendidikan seni sebagai
landasan ukuran.
Keduanya
kita perlu menilai semula bagaimana usaha kita menyusun atur isi
kandungan mata pelajaran ini secara berperingkat-peringkat mulai
daripada tahun satu sekolah rendah hinggalah ke tahap SPM. Ini adalah
kemahiran membuat perancangan tahunan bagi setiap tahap Peringkat STPM,
PPK telah berjaya memperlihatkan suatu tahap mutu kandungan yang setara
dengan kedudukannya, walaupun masih di peringkat permulaan tetapi jauh
lebih bermutu berbanding dengan kandungan sukatan pelajaran lama. Ketiga
, sudah sampai masanya mata pelajaran ini memiliki buku rujukan atau
sekurang-kurangnya ada buku panduan. Soalannya berbalik semula kepada
isu yang di atas iaitu bergantung kepada keupayaan guru menterjemah isi
kandungan ke dalam bentuk operasi dalam P&P di bilik darjah.
Keempatnya sebagai mata pelajaran sekolah , keperluan asasnya dari segi
infrastruktur perlulah diberi perhatian. Sudah sampai masanya setiap
sekolah memiliki sekurang-kurangnya satu bilik seni yang lengkap sama
seperti pelajaran Kemahiran Hidup, Sains Rumahtangga atau matapelajaran
Sains. Kelima: Hanya guru yang layak sahaja mengajar waktu pelajaran
ini. Keenamnya, mungkinkah Seni memiliki sekolah menengah khasnya
seperti juga sekolah sukan ? seperti ura-ura jabatan Pendidikan Johor ?
Pendekatan
Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni: Apakah pendekatan yang
digunakan oleh guru untuk mengajar Pendidikan Seni? Adakah kita henya
menggunakan pendekatan p&p yang steriotaip sahaja? Sebenarnya
terdapat berbagai pendekatan yang bolah kita amaklan agar proses
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini lebih menarik. Sebagai
contohnya guru bolah menggunakan: Pendekatan Kemanusiaan dalam
Pengajaran Pendidikan Seni: Menurut Michael (1983) dan Feldman (1970)
mencadangkan agar guru menggunakan pendekatan kemanusiaan dalam
pengajaran dan pembelajaran. Menerusi proses pembelajaran yang
berlandaskan pendekatan kemanusiaan itu pelajar akan mengenali dirinya
dan hubungan dengan masyarakat dan kehidupannya. Keadaan ini akan
membantu proses perkembangan mereka dari peringkat paling asas iaitu
mengenali diri sendiri, mengenali seni dan kelompok-kelompok masyarakat
kecil di persekitaran mereka, peka tentang perasaan mereka , memiliki
konsepsi diri yang jelas dan boleh menyatakan pernyataan diri mereka
secara kreatif melalui media. Seterusnya mengenali nilai-nilai
kemanusiaaan yang boleh digarap maklumatnya daripada karya atau
pernyataan seni yang boleh dikesan pada mana-mana bentuk seni atau
mana-mana karya seni. Pendekatan Behaviorisme Ahli behaviorisme
mempercayai tingkah laku pelajar boleh dibentuk melalui
pengalaman-pengalaman pendidikan yang disediakan. Perancangan Pendidikan
Seni yang berkaitan dengan situasi kehidupan sebenar adalah penting
untuk memastikan kejayaan yang lebih berkesan bagi mencapai objektif
pembelajaran. Aspek asas kepada pendekatan ini adalah guru-guru perlu
mematuhi disiplin untuk pencapaian sesuatu matlamat yang telah
ditentukan dengan mengenalpasti keutamaan, mengaplikasi kaedah-kaedah
penyelidikan terhadap tugas-tugas pengajaran dari semasa ke semasa dan
bersedia untuk mereka bentuk alat-alat untuk pengujian dan penilaian
dalam pembelajaran dan pengajaran seni.
Masalah utama yang mungkin dihadapi oleh guru adalah untuk menentukan tingkahlaku berasaskan objektif kurikulum pendidikan seni. Apakah tingkah laku yang relevan untuk Pendidikan Seni? Bagaimana seseorang itu boleh mencapai perubahan tingkah laku ketika belajar Pendidikan Seni? Sampai ke tahap manakah sesuatu perubahan itu dinilai ? Matlamat dan objektif manakah yang digunakan sebagai ukuran untuk sesuatu penilaian. Bolehkah dikenalpasti apa yang boleh dipelajari, apa yang akan diajar dan tingkah laku pelajar yang macam mana yang perlu dibentuk?
Masalah utama yang mungkin dihadapi oleh guru adalah untuk menentukan tingkahlaku berasaskan objektif kurikulum pendidikan seni. Apakah tingkah laku yang relevan untuk Pendidikan Seni? Bagaimana seseorang itu boleh mencapai perubahan tingkah laku ketika belajar Pendidikan Seni? Sampai ke tahap manakah sesuatu perubahan itu dinilai ? Matlamat dan objektif manakah yang digunakan sebagai ukuran untuk sesuatu penilaian. Bolehkah dikenalpasti apa yang boleh dipelajari, apa yang akan diajar dan tingkah laku pelajar yang macam mana yang perlu dibentuk?
Pengamatan
sebagai pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni. Merujuk
kepada objektif pelajaran Pendidikan Seni sama ada untuk sekolah
menengah atau rendah, salah satu tujuan pembelajaran Pendidikan Seni
adalah untuk menajamkan persepsi pelajar. Semua pembelajaran Pendidikan
Seni menitikberatkan kepada persepsi (pengamatan) proses mendapat
pengetahuan, melayani perasaan dan pernyataan semuanya berlaku menersui
deria kita. Sesetengah berpendapat pengamatan melalui deria itu adalah
kunci kepada segala ilmu dan pengetahuan. Ianya adalah tingkah laku asas
dalam proses seseorang melengkapkan ilmu pengetahuan melalui penerokaan
alam persekitrannya. Proses pengamatan melibatkan seseorang itu membuat
penelitian, menganalisis, mengsintesis dan menilai. Ia merupakan suatu
proses mengurus maklumat yang memerlukan tindakan integrasi secara
kreatif. Proses ini juga memerlukan seseorang itu berfikir secara
terbuka dan lebih bersifat luwes. Dalam kurikulum Pendidikan Seni
aktiivti pengamatan ini telah ditetapkan supaya dilaksanakan mulai dari
awal persekolahan hinggalah ke tingkatan menengah atas, Amalannya adalah
mengikut tahap keupayaan pelajar. Guru-guru perlu menguasai dan
mengenalpasti tahap keupayaan pengamatan pelajarnya dan menggunakannya
untuk tujuan perancnagan pengajaran dan pembelajaran.
Aktiviti-aktiviti
yang sesuai untuk mengembangkan keupayaan pengamatan ini perlu
dikenalpasti. Aktiviti yang boleh membantu pelajar untuk memajukan
pengamatan, dan meningkatkan proses kematangan deria perlu disediakan.
Program-program perlu disediakan sehingga berjaya membawa perubahan
secara mampan terhadap aras kepekaan pengamatan pelajar. Pendekatan
Perkembangan Menyeluruh Pendidikan seni adalah merupakan bidang ilmu
yang menjelaskan konsep pendidikan menyeluruh, yang memenuhi tuntutan
domain kognitif, afektif dan psikomotor. Ini sejajar dengan Falsafah
PendidikanNegara. Kneeth M. Lancing (1971), pada dasarnya manyatakan
bahawa pendidikan seni perlu memfokuskan perhatian kepada tiga domain
utama tersebut. Antara kandungan yang ada di dalam ketiga-tiga domain
tersebut adalah; Domain Kognitif : iaitu ilmu yang berkaitan dengan
gubahan, prosedur, sejarah dan apresiasi, estetika serta seni dalam
kehidupan. Domain Afektif : iaitu suatu aspek yang berkaitan dengan
nilai, sikap, minat, keperihatinan, mempunyai pertimbangan, menghargai
warisan dan mempunyai sahsiah yang baik. Domain Psikomotor: iaitu
menumpukan kepada pertumbuhan kemahiran dalam pergerakan atau gerak
balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran,
meningkatkan kualiti koordinasi antara mata , tangan, otot dan mental.
Seterusnya pelajar yang berbakat akan menjadi penggiat seni dan yang
kurang berbakat atau berkemahiran akan menjadi penggemar atau pengkritik
seni yang mahir serta berilmu pengetahuan hasil dari proses pengajaran
dan pembelajaran Pendidikan seni.
Kesimpulannya
banyak isu-isu lain yang tidak diutarakan di sini umpamanya isu yang
berkait dengan pendidikan merangkupi era ICT dan seumpamanya. Walau
bagaimanapun tahniah diucapkan kepada Kementerian Pendidikan di bawah
urusetia Pusat Perkembangan Kurikulum dan unit-unit lain yang telah
berusaha untuk meletakkan matapelajaran pendidikan seni ini ke tahap
yang sewajarnya. Usaha untuk mengemaskini kualiti sukatan pelajaran dari
peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat SPM dan STPM telah dan
sedang dilakukan. Usaha ini dilakukan dengan melibatkan wakil-wakil dari
semua peringkat sistem pendidikan Negara kita. Pernyataan falsafah,
matlamat dan objektifnya telah jelas. Isi kandung pelajaran dan ruang
lingkupnya telah dinyatakan selaras dengan tahap sukatan pelajaran.
Dengan harapan agar mata pelajaran pendidikan seni dapat memenuhi harsat
wawasan dan falsafah pendidkan kebangsaan, dalam usaha untuk memberi
persediaan kepada generasi muda dengan ilmu, nilai dan kemahiran kepada
generasi muda dengan personality sebagai rakyat Malaysia yang cemerlang
untuk generasi akan dating. Ini adalah harapannya. Realitinya diminta
kita sama-sama membuat renungan. Sejauh manakah kita telah melaksanakan
peranan kita untuk merealisasikan harapan itu. Sejauhmanakan kita telah
meletakkan kualiti pengajaran kita dengan menguasai dan mengamalkan
beberapa pendekatan sesuai untuk sesuatu matlamat pengajaran, supaya
pelajaran pendidikan seni itu benar-benar berkualiti, menarik dan
bermakna dari perspektif pelajar Daripada isu-isu yang telah
diketengahkan di atas, mungkin kita perlu mengambil langkah untuk
memperbaiki bersama-sama dengan memberi pandangan dan idea dalam seminar
atau perbincangan yang amat perlu diadakan dengan lebih kerap lagi,
mungkin melalui kelompok perbincangan yang lebih kecil . Semuga dengan
itu dapat memartabatkan pelajaran pendidikan seni ini ke tempat yang
sewajarnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar